KUCHING: Perkhidmatan bas percuma mungkin akan diperluas ke kawasan Bau dan Borneo Highland yang kini sedang membangun terutamanya dalam sektor pelancongan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, selain itu kawasan Miri berkemungkinan akan menjadi daerah seterusnya memandangkan terdapat dua Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) iaitu Taman Negara Niah dan Taman Negara Gunung Mulu.
“Saya bersetuju sekiranya perkhidmatan ini dilaksanakan ke kawasan tersebut setelah kerja-kerja menaik taraf fasiliti di kawasan tersebut selesai dan jumlah pelancong mulai meningkat.
“Saya tidak menolak kemungkinan kita akan menyediakan bas percuma ini dari Miri ke Niah seperti itu untuk kemudahan orang awam,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Hari Raya 2025 daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang di kediamannya di Petra Jaya.
Katanya, keputusan penyediaan bas percuma di seperti yang dilaksanakan di Semenggoh di lokasi lain adalah berdasarkan survei untuk melihat jumlah kedatangan pelancong yang datang ke lokasi berkenaan.
Menurut beliau, pihaknya mengetahui permintaan yang banyak daripada masyarakat untuk menyediakan perkhidmatan sedemikian, namun lokasinya haruslah dipertimbangkan untuk mengelakkan kerugian.
“Setakat ini, bas-bas yang kita atur adalah untuk ke tempat-tempat tertentu, yang kita panggil kawasan tarikan pelancongan seperti ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh (SWC) dan beberapa tempat lagi di Kuching,” katanya.